TAHUN 2008 semakin tiba ke penghujungnya. Bagi peminat teknologi khususnya mereka yang gemar mengumpul gajet, kehadiran tahun baru tidak berapa lama lagi tentunya memberikan harapan buat mereka untuk melihat gajet digital terkini. Berikut disenaraikan gajet yang dinanti pada tahun 2009:
* Basikal hibrid Schwinn
Pengeluar basikal lebih 100 tahun, Schwinn memperkenalkan basikal mesra alam yang menggunakan teknologi elektrik hibrid. Apa yang uniknya, sistem kuasa elektrik basikal ini boleh dimatikan bila-bila masa dan basikal ini akan berfungsi seperti basikal tradisional. Apabila suis bekalan kuasa diaktifkan, motor elektrik berkuasa tingginya akan memberikan anda satu pengalaman berbeza sementara bekalan kuasa dijana oleh bateri litium-ion berkuasa tinggi yang dibangunkan oleh Toshiba.
* Cakera keras Lenovo ThinkPad
Anda seorang yang banyak menghabiskan waktu kerja di luar pejabat tetapi memerlukan storan yang mampu melindungi data penting syarikat? Cakera keras mudah alih ini membolehkan anda membawa data ke mana sahaja dengan hati yang lapang kerana data anda dilindungi dengan enkripsi 128-bit dan kata laluan. Cakera keras SATA bersaiz 2.5-inci ini mampu menyerap hentakan dan berkapisiti sehingga 320GB.
* Pengesan A-GPS Zoombak Universal
Ibu bapa atau isteri yang ingin mengetahui ke mana anak atau suami mereka sering pergi, pastinya tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan gajet ini. Pengesan Zoombak Universal A-GPS akan memberitahu anda apabila ia memasuki persempadanan tertentu. Untuk mengetahui kedudukan subjek, anda hanya perlu menyembunyikan gajet ini di dalam kereta yang disasarkan. Pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pemiliknya apabila ia memasuki atau meninggalkan sesuatu kawasan.
* HP Photosmart C6388
Pencetak keluaran HP ini merupakan pencetak tiga dalam satu yang pertama yang dilengkapkan dengan ciri wayarles. Pengguna di pejabat mahupun di rumah yang mempunyai rangkaian tanpa wayar atau WiFi akan boleh terus melakukan cetakan secara wayarles. Model pencetak lain yang turut dilengkapi dengan keupayaan ini ialah C4580 dan C5380, kesemuanya merupakan pencetak pelbagai fungsi (cetak, salin dan faks). Selain menggunakan sambungan 802.11, ia juga mempunyai pilihan Bluetooth. Melalui sambungan Bluetooth, pengguna boleh mencetak terus dari telefon bimbit mereka.
* Garmin Nuvifone
Nuvifone bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah diuar-uarkan sejak lebih setahun yang lalu, namun pelancarannya telah ditangguhkan ke tahun hadapan oleh pengeluarnya, Garmin. Telefon yang banyak dipengaruhi oleh peranti pandu arah GPS ini dilengkapi dengan skrin berukuran 3.5-inci.
Telefon pintar ini juga dilengkapi dengan pelayar Internet, sokongan capaian HSDPA dan integrasi peta dan GPS. Nuvifone dijangka menjadi gajet 'panas' selepas iPhone yang menjadi dambaan ramai.
* Bingkai gambar Internet
Jika sebelum ini bingkai foto digital telah memasuki pasaran, kini bingkai gambar berinternet pula diperkenalkan. Diberikan nama InTouch, bingkai foto digital ini turut dilengkapi dengan capaian Internet menjadikannya peranti akses Internet dan bingkai foto/video beraudio.
Gajet ini didatangkan dengan skrin sesentuh berukuran tujuh inci jenis LCD TFT dengan resolusi 800 x 400. Ia turut dilengkapkan dengan ingatan binaan dalam 128MB dan juga menyokong storan tambahan seperti SD, CF, MMC dan banyak lagi. Melalui bingkai ajaib ini, pengguna boleh mengakses album foto digital mereka di laman seperti Flickr dan Picasa secara terus sekali gus membuat suntingan hanya melalui bingkai tanpa memerlukan komputer.
0 ulasan:
Post a Comment