Projektor Mini


Ia tidak mempunyai kipas yang mengeluarkan bunyi bising dan mentol yang perlu diganti.
PROJEKTOR sebesar tapak tangan itu dibangunkan oleh syarikat pita pelekat 3M.


MENYEBUT namanya sahaja sudah membayangkan saiznya yang agak besar. Namun peranan projektor dalam dunia perniagaan mahupun urusan pejabat menyebabkan kita terpaksa akur walaupun terpaksa membawa beban beratnya melebihi dua kilogram.

Tidak keterlaluan jika dikatakan projektor hari ini masih tergolong dalam kategori perkakasan komputer yang berskala besar. Ia memerlukan ruang yang agak besar sama ada untuk dipasang ketika pembentangan kertas kerja mahupun untuk penyimpanannya.

Namun, hasil usaha penyelidikan dan pembangunan beberapa buah syarikat pengeluar produk elektronik telah menyaksikan satu fasa evolusi gajet digital ini.

3M, Microvision, Toshiba dan Sony merupakan antara syarikat terkemuka dunia yang berlumba-lumba dalam mengubah skala projektor mereka kepada saiz yang hampir mustahil. Projektor Pico, itulah nama yang diberikan kepada projektor jenis ini.

3M, syarikat yang terkenal dengan pita pelekat berkualiti tingginya, merupakan salah sebuah syarikat yang melabur jutaan ringgit dalam menghasilkan prototaip projektor mini.

Projektor bersaiz tapak tangan itu diperkenalkan oleh 3M pada pertengahan tahun lalu. Projektor yang mampu menghasilkan tahap keterangan yang membolehkannya memancarkan imej di dalam bilik yang berlampu dari jarak 15 inci manakala di dalam bilik gelap, jaraknya bertambah kepada 50 inci.


PENGGUNAAN yang praktikal untuk kumpulan yang kecil.

Projektor yang dibangunkan oleh 3M itu menggunakan teknologi terkini yang mampu mengoptimumkan kuasa menerusi penggunaan diod yang mengeluarkan cahaya (LED) dan cip hasil keluaran LCoS dan bukannya cahaya laser yang lazim digunakan dalam projektor hari ini.

Selain 3M, salah sebuah pengeluar projektor terkenal, Optoma, turut tidak ketinggalan dalam membangunkan teknologi projektor yang menggunakan LED dan cip pengimejan DLP, teknologi yang dibangunkan oleh Texas Instruments.

Kejayaan menghasilkan projektor Pico merupakan bukti kesungguhan usaha mereka mengembangkan aplikasi projektor kepada umum. Sungguhpun bersaiz kecil ia masih mampu memancarkan imej selebar 15 inci dengan jelas.

Dipertontonkan buat pertama kalinya kepada umum di Pameran Konsumer Elektronik (CES) di Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu, projektor keluaran Texas Instruments itu mampu memaparkan imej yang dikehendaki hampir di mana-mana sahaja permukaan rata - dinding, belakang badan seseorang, tapak tangan dan sebagainya.

Model itu memancarkan cahaya laser merah, hijau dan biru pada kepingan cermin digital kecil, cip yang sama digunakan pada projektor panggung wayang.

Teknologi itu giat dimajukan bagi membolehkannya menggunakan LED sepenuhnya untuk menjimatkan kos, kuasa dan meminimumkan haba yang dikeluarkan. Ini bagi membolehkan ia dilengkapkan pada gajet digital mudah alih seperti telefon bimbit dan pemain multimedia.


PROJEKTOR tersebut dipercayai mampu bertahan sehingga 10 ribu jam nyalaan.

Sesuatu yang menarik tentang projektor mini itu ialah ia tidak mempunyai kipas mengeluarkan bunyi yang bising dan mentol yang perlu diganti. Projektor LED keluaran 3M dipercayai mampu bertahan sehingga 10 ribu jam nyalaan.

Satu kelemahan projektor itu ialah resolusi yang terhad. Projektor Pico tidak mampu menghasilkan imej sejelas dan sebesar imej yang mampu dipaparkan oleh projektor konvensional. Ini kerana ukuran tahap keterangan yang hanya sekitar 10 lumen sedangkan projektor biasa di pejabat mempunyai sekitar 2000 lumen.

Selain itu, bateri yang digunakan projektor tersebut juga cepat habis berbanding projektor biasa yang menggunakan bekalan kuasa elektrik secara terus. Bagaimanapun, bateri itu menjadikannya mudah alih, sama seperti komputer bimbit.

Sungguhpun secara dasarnya kualiti paparan projektor cili padi itu masih tidak dapat menandingi projektor yang lazim digunakan di dalam bilik mesyuarat dan auditorium, namun ia memadai untuk persembahan kumpulan kecil. Ia amat berguna khususnya buat golongan yang bekerja di luar pejabat.


0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin