Landmark: Petaling Street / Chinatown / Madras Lane



PS ataupun Jalan Petaling bukanlah titik baru dalam peta pelancongan Malaysia. Di sini letaknya pusat Chinatown yang paling terkenal di Kuala Lumpur. Menjadi lokasi kunjungan pelancong asing dan penduduk tempatan, siang dan malamnya dihidupkan dengan aktiviti perniagaan.

Aliran trafik manusia tidak pernah putus, menjadikan ia lebih menarik dan mengujakan untuk dilawati.

Gerai-gerai baju, kain, seluar, beg, kasut, barangan kraf atau cenderamata berderetan. Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan, jalan ini ditutup sepenuhnya kepada kenderaan pada waktu malam, membolehkan puluhan gerai barangan dibuka di tengah-tengahnya.

Kelebihannya terletak pada kepelbagaian produk mampu milik dan keterbukaannya untuk aktiviti tawar-menawar.
Riuh suara peniaga menarik perhatian pelanggan yang lalu-lalang. Walaupun pada mulanya sekadar menoleh untuk melihat barangan yang ada, tidak kurang juga yang 'tewas' kepada harga murahnya.

Malah gerai-gerai buah, minuman, serta restoran menambah kerancakan suasana malamnya. Bau buah berangan dipanggang, aroma mi Hokkien, ikan bakar, asam laksa dan mi kari menerewang di ruang udara.

Perhatikan juga Restoran Yook Woo Hin yang merupakan salah sebuah tempat makan yang paling lama bertahan di Kuala Lumpur.

Jika dahulu jalannya berlopak, tidak rata dan sesak dengan payung-payung besar yang berwarna-warni, kini, selepas dinaik taraf dengan kos mencecah RM11.3 juta pada tahun 2003, ia dipayungi bumbung panjang terentang di sepanjang jalan itu.
Di permulaan dan penghujung jalan itu didirikan pintu gerbang berukir naga hijau yang bagaikan mengalu-alukan kedatangan pengunjung dengan atmosfera orientalnya.

Syurga untuk aktiviti tawar-menawar ini juga berada di kedudukan tanah tinggi Kuala Lumpur, menjadikannya kurang terdedah kepada risiko banjir kilat yang sekali-sekala mengisi kalendar tahunan bandar raya ini.

Pelancong juga dapat memilih untuk menginap di hotel, hostel atau rumah tumpangan yang disediakan di antara rumah-rumah kedai yang mengapit barisan gerai termasuk Hostel Army, Hotel Malaya, Hotel Swiss Inn, dan Hotel Stayorange - lokasi yang tepat buat mereka yang mahu menyaksikan warna-warni lampu neon dan arus manusia.

Berdekatan dengan Masjid Jamek, sebuah masjid yang mengaplikasi seni bina Moor, serta hanya beberapa minit perjalanan dari Pasar Seni, PS mudah untuk diakses, terutamanya dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni atau monorel di Jalan Maharajalela.

Mercu tanda lain yang senang untuk diperhatikan ialah Kuil Sri Mahamariamman, terletak di Jalan Tun H.S. Lee. Ia kuil paling tua di ibu kota - FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin