BIADAP KEPADA IBUBAPA BAKAL MENGUNDANG BENCANA
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah yang anak-anak derhaka yang sanggup membuangkan bapa mereka yang telah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Dalam kes yang pertama seorang bapa yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya tidak disukai oleh isteri anaknya lalu kewujudan beliau dirumah boleh menjejaskan keharmonian rumahtangga mereka. Dalam kes kedua pula seorang bapa yang sedang mengidap penyakit buah pinggang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu dipusat tersebut. Maka tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu telah bertungkus-lumus membanting tulang untuk membesarkan anak-anak mereka di rumah orang-orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Apa yang lebih mendukacitakan sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul dari kalangan mereka yang mengaku sebagai orang Islam sedangkan Islam telah mencela dengan keras perbuatan seumpama ini. Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: "Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?" Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu." – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2654
Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibubapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah S.W.T. iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini. Di sisi lain Allah S.W.T. berfirman: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukannya Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa." – al-Nisaa' (4) : 36 Di dalam ayat ini setelah Allah memerintahkan hamba-Nya untuk mengtauhidkan-Nya dan mengerjakan ibadat kepada-Nya, Allah S.W.T turut menyuruh hamba-hamba-Nya agar menjaga kedua ibubapa mereka dengan baik. Dalam ertikata lain seseorang itu tidak dianggap memiliki kemantapan iman serta ibadatnya juga belum dianggap sempurna selagi dia tidak berbuat baik kepada orang tuanya.
Keredhaan Allah S.W.T terhadap hamba-Nya juga bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjaga hal ehwal ibubapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa." – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 1821. Menerusi hadis ini dapat kita fahami bahawa hubungan seseorang insan itu dengan Allah S.W.T. akan terjejas sekiranya dia menderhaka kepada ibubapanya. Sikap kurang ajar seorang anak kepada ibubapa bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T. sehingga Allah tidak lagi meredhai anak tersebut.
Justeru Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibubapa lebih-lebih lagi yang telah lanjut usianya dengan apa jua cara selagimana ia tidak bercanggah dengan syarak. Islam melarang seseorang itu sama sekali untuk bersikap kasar kepada ibubapanya. Firman-Nya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." – al-Israa' (17 : 23).
Menjaga ibubapa yang sudah tua memang bukan satu urusan yang mudah. Kebiasaanya tubuh yang telah dimamah usia menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan adakalanya memerlukan bantuan daripada anak-anak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati, bahkan agak cerewet dalam banyak perkara. Ada juga yang telah mula lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka adakalanya boleh menyebabkan seseorang anak itu hilang sabar. Namun kesukaran dalam menjaga ibubapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibubapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa jua suasana maka mereka sebenar telah menempah tiket untuk ke syurga. Rasulullah s.a.w. pernah mencela bagi mereka yang memiliki ibubapa yang telah lanjut usia mereka namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda: "Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!" Baginda ditanya: "Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?" Baginda menjawab: "Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 2551
Kedudukan istimewa seorang ayah dan ibu itu semakin terserlah apabila Rasulullah s.a.w tidak membenarkan seseorang itu melaksanakan satu misi yang besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibubapanya atau tidak mendapat keizinan dari mereka. Ketika peristiwa hijrah terdapat seorang sahabat yang telah datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah namun perbuatannya ini telah menyebabkan kedua ibubapanya menangis. Maka rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya: "Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis." – Hadis riwayat Imam al-Nasaa'i di dalam Sunannya, no: 4093. Di dalam peristiwa yang lain seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w. untuk berjihad bersama baginda namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan daripada kedua ibubapanya maka baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua." – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya. no : 2168. Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibubapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.
Berhati-hatilah bagi anak-anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mereka mendoakan keburukan terhadap anak-anak mereka kerana doa mereka yang telah dizalimi dan doa ibubapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda: "Tiga jenis doa yang pasti akan dikabul tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya." – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 1828.
Sikap biadap kepada ibubapa ini turut bertentangan dengan budaya orang Melayu yang terkenal dengan tatasusila yang tinggi serta lemah lembut. Entah mana silapnya sifat jelik menghina dan membuang bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu yang beragama Islam. Penduduk sekeliling perlu menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu. Sekiranya terhadap bapanya yang telah membesarkannya sanggup dizalimi, apakah yang menghindarkannya dari menzalimi jiran tetangga?
Secara realitinya setiap manusia sememangnya tidak boleh lari dari melakukan kesilapan namun hendaklah seseorang itu menebus apa jua kesilapannya dengan tidak meneruskan perbuatan tersebut serta bertaubat. Sabda Rasulullah s.a.w.: "Setiap anak adam itu sering berbuat ksilapan dan sebaik-baik orang yang selalu berbuat kesilapan adalah orang-orang yang suka bertaubat." – Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam Sunannya, no: 2423. Sehubungan dengan itu bagi mereka yang telah menderhaka kepada orang tua mereka, hendaklah kembali ke pangkal jalan. Bertaubatlah dengan segera kerana Allah sentiasa menerima taubat hamba-hambanya-Nya walau sebesar mana dosa mereka selagi tidak melakukan perbuatan syirik. Segeralah memohon keampunan kepada ibubapa yang telah dizalimi itu dan jangan ulangi kesilapan yang lalu. Kembalikankan mereka kepangkuan keluarga, jagalah mereka dengan baik dan jangan biarkan mereka terus bersedih di rumah orang-orang tua seolah-olah mereka ini tiada zuriat yang bertanggung-jawab atas hal ehwal mereka.
0 ulasan:
Post a Comment