Saintis Bingung Cahaya Misteri



TROMSO, Norway - Benda apakah berwarna biru, putih berlingkar dan muncul tiba-tiba di langit di sini, utara Norway kelmarin? Menurut sebuah akhbar semalam, jika anda ada jawapan, catatkannya pada sekeping poskad dan hantar kepada rakyat Norway, di mana cahaya misteri itu muncul dan mengelirukan penduduknya kelmarin. Susulan fenomena itu, Institut Meteorologi Norway dihujani ribuan panggilan telefon berhubung kemunculan lingkaran cahaya di langit di sini pukul 8.45 pagi waktu tempatan.

Cahaya itu menyerupai jalur lingkaran ubat nyamuk yang mengelilingi sebuah objek terang selama beberapa minit. Menurut sebuah akhbar, cahaya itu kemudian 'meletup' menjadi lingkaran api putih menyebabkan ramai peminat objek terbang tidak dikenali (UFO) di seluruh dunia menganggap fenomena selama 12 minit itu sebagai detik berlakunya hubungan pertama antara makhluk asing dengan penduduk bumi. "Ia menyerupai sebuah roket yang berputar-putar dan naik ke atas sebelum hilang," kata seorang saksi dari utara Norway, Totto Eriksen. Ketua Saintis Pusat Angkasa Lepas Norway, Erik Tandberg memberitahu, beberapa pakar percaya ia mungkin ujian peluru berpandu. Pentadbiran Rusia bagaimanapun menafikan ia mengadakan sebarang ujian peluru berpandu itu.

Akhbar Kommersant melaporkan semalam bahawa ujian peluru berpandu nuklear Rusia dibuat menjelang subuh kelmarin iaitu pada waktu sama dengan lingkaran cahaya itu muncul.
Namun, ujian peluru itu yang dilancarkan dari sebuah kapal selam itu mengalami kegagalan di peringkat ketiga di ruang udara menyebabkan pakar analisis pertahanan Rusia, Pavel Felgenhauer mengaitkannya sebagai punca cahaya tersebut muncul. - Agensi


Sumber : Kosmo, 11 Disember 2009



0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin