KLUANG: Dia wanita Islam yang layak digelar ibu tunggal malang apabila begitu memerlukan wang untuk belanja anak ke universiti, namun permohonan pada wakil rakyat dan banyak lagi badan kebajikan termasuk pertubuhan Islam sering mengecewakan, sebaliknya sebuah gereja menghulurkan bantuan RM2,000.
Selepas ditinggalkan suaminya 16 tahun lalu, ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Hanum, 40, terpaksa melakukan dua pekerjaan semata-mata ingin melihat anak tunggalnya berjaya dalam pelajaran.
Gaji RM900 sebulan tidak pernah digunakan sepenuhnya untuk diri sendiri, malah disalurkan untuk kegunaan si anak yang baru setahun melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan di ibu negara.
Masalah bermula apabila kejayaan anak gadisnya yang berusia 19 tahun itu dipandang remeh sesetengah pihak termasuk institusi agama daerah, badan zakat negeri dan wakil rakyat yang pernah ditemuinya.
Menurut Hanum, anaknya itu sudah dua kali menolak tawaran melanjutkan pelajaran di dua universiti tempatan berikutan masalah kewangan dialami. “Selepas dua kali menyerah kalah terhadap tuntutan kewangan berkenaan, kali ini saya nekad mencari sumber kewangan.
“Saya berjumpa banyak pihak untuk meminta bantuan kewangan anak yang mahu melanjutkan pelajaran, tapi semua memberikan alasan tiada peruntukan serta saya tidak layak untuk memohon tanpa sebab munasabah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sehinggalah pada satu ketika dia didatangi seorang lelaki berusia lewat 30-an di sebuah hentian bas di daerah Batu Pahat yang menawarkan pertolongan daripada sebuah gereja sekitar kawasan berkenaan.
“Lelaki itu lihat saya menangis di hentian bas lalu bertanyakan masalah selepas mendengar rintihan saya dia terus membawa ke gereja berjumpa dengan seorang paderi yang boleh membantu,” katanya.
“Saya terus mengikut saja lelaki terbabit ke sebuah gereja lalu diperkenalkan dengan seorang paderi,” katanya.
Katanya, belum sempat dia menceritakan masalah yang dialaminya itu paderi terbabit terus mengeluarkan sekeping cek sumbangan bernilai RM2,000 untuk menaja pengajian anaknya.
Malah, cek itu diberikan paderi itu kepada Hanum yang beragama Islam tanpa sebarang syarat.
“Saya terus ambil cek itu dan beredar dari gereja itu. Terharu sangat kerana institusi agama dan wakil rakyat saudara seagama tidak boleh membantu saya. Malah, saya pernah dihalau beberapa kali ketika mengajukan masalah ini kepada pihak berkenaan,” katanya sambil mengalirkan air mata.
Hanum yang bekerja sebagai tukang sapu dan pengawal keselamatan di Parit Raja, di sini, tidak menggunakan cek sumbangan berkenaan, tetapi menyerahkannya kepada seorang individu yang bergelar ustaz.
Terkejut melihat perkara itu, lelaki berkenaan terus membawanya ke sebuah sekolah bagi mendapatkan sumber kewangan yang diperlukannya.
Hasil inisiatif sekolah di Kluang itu satu program derma kilat dilancarkan bagi membantu ibu malang terbabit.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/art...cle/index_html
0 ulasan:
Post a Comment