Catatan Sepasang Kasut



Namaku Nike, aku adalah dari bangsa trainer.
Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual di merata kedai sukan. Aku telah dibeli semenjak setahun yang lepas. Semenjak itu hidupku mula berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan daripada hayatku akan kuhabiskan di trek atau di gimnasium. Tapi jangkaanku meleset. Tuanku lebih kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar kegiatannya dalam kelompok tersebut. Itulah yang dinamakan usrah rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan di sini mungkin berguna kepada kalian semua. Berikut adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan aku untuk mencoretkan warkah ini.
Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke masjid bersamanya seorang. Di sana beliau
mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak cukup dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami kunjungi. Sememangnya dia seorang yang obsessed dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang selalu dibacanya. Ini membanggakan aku, kerana dapat berbakti kepada seorang yang cintakan ilmu.
Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga sering dibawa ke kompleks sukan dan padang bola. Yang peliknya aku mendapat ramai kenalan ketika berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika dibawa ke masjid. Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku agak pelik dengan situasi ini, tetapi lama-kelamaan ramai kenalanku turut serta setiap kali aku ke masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan padang bola dan kompleks sukan untuk berdakwah rupanya. Masya Allah! Tak sangka juga, dengan aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak rakan-rakan ke masjid. Sekarang aku tidak bersendiri lagi. Hampir setiap malam tuan aku akan berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk bertukar pengalaman. Rakan-rakanku amat mengagumi tuanku. Aku tumpang berbangga.
Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan aku tidak kenal erti rehat. Baginya tempat rehat adalah Syurga dan masa untuk tidur adalah di alam kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku mula berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap isi disokong dengan hadis dan ayat al-Qur'an. Tuan aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara yang sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum dengan kebolehannya.
Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau mencerca rakan yang lain. Jika ada perkara yang hendak ditegurnya akan dilakukan dengan hikmah. Aku lebih banyak mendengar beliau memuji orang berbanding mencerca kesalahan orang. Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu menganggap tulisanku ini gila dan tidak masuk akal. Akan tetapi renungkanlah kata-kataku ini. Aku mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin Tuhan akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk bersaksikan apa yang tuan aku telah kerjakan. Pada saat itu akan aku saksikan pada Tuhan apa yang aku nukilkan pada kalian.

Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah dengan cara hikmah. Jangan sekali-kali lari dari masyarakat. Terkadang masyarakat di sekeliling kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan. Ikutlah rentak mereka sebagaimana aku menari mengikut irama tuanku. Dalam berkata-kata hendaklah kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki, lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u suka dipuji. Namun puji biarlah ikhlas. Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis. Jangan kalian ikut sesedap mulut, kelak menikam
kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu kalian, maka orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang berilmu? Jadilah da`i yang serba boleh. Jangan kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat mengajak ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik, berjalan, itu semua adalah dakwah bagi kalian. Setapak kalian berjalan, mungkin bisa mencampak hidayah ke dalam diri teman kalian.

Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian. Apatah lagi aku hanya sepasang kasut. Kalian tidak perlu memaafkanku kerana aku hanyalah kasut. Tetapi maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum lidah kasutku ini bergetar deras, cukuplah dulu nukilan dariku, sepasang kasut seorang da`i.


0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin