Televisyen ternipis di dunia















Seorang promoter mempamerkan duit syiling bersebelahan dengan panel televisyen terbaru LCD keluaran LG Display yang merupakan panel televisyen paling nipis di dunia semasa pameran di Seoul, semalam. -AFP


Syarikat Korea Selatan, LG Display mengumumkan bahawa ia telah berjaya mencipta televisyen paparan kristal cecair (LCD) lebih nipis daripada sebatang pensil dan paling nipis di dunia.

Panel televisyen berukuran 42 dan 47 inci itu menggunakan sistem pencahayaan belakang diod pancaran cahaya (LED) yang membolehkan ia direka senipis 5.9mm, demikian menurut LG Display dalam kenyataannya.

Pengeluar televisyen LCD kedua terbesar dunia itu berkata, produk terbarunya itu hanya seberat 6.1 kilogram dan 7.3 kilogram, iaitu separuh daripada berat televisyen konvensional.

"Paparannya dapat menghasilkan warna seperti semula jadi dengan ketepuan sehingga 80 peratus," demikian menurut kenyataan itu.

Televisyen terbaru itu juga dikatakan dapat menghilangkan kesan pergerakan samar dan mempunyai resolusi definisi tinggi.

Naib Presiden Eksekutifnya, Chung In-jae berkata, produk terbaru menunjukkan teknologi terkini yang digunakan LG membolehkan rekaan televisyen ternipis direalisasikan.

LG Display dan pesaing tempatannya, Samsung, kini mendahului dunia dalam pengeluaran skrin panel rata di pasaran global dan sedang bersaing untuk menghasilkan panel lebih nipis untuk televisyen berdefinisi tinggi.

0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin