Shieldbug kesan kamera tersembunyi

OLEH: MOHAMMAD YASIR JAAFAR

PRODUK ini mempunyai reka bentuk seperti kumbang dan didatangkan dengan empat warna menarik. ERA digital masa kini banyak memperlihatkan penemuan gajet-gajet yang dicipta khusus untuk mempertingkatkan taraf kehidupan masyarakat.Namun, di sebalik kemajuan tersebut, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan teknologi untuk tujuan negatif.

Salah satu permasalahan yang sering dihadapi oleh masyarakat masa kini adalah berhadapan dengan kehadiran kamera pengintip yang dipasang dengan tujuan merakam video atau imej individu untuk tujuan tidak bermoral.

Perlakuan tidak sihat ini sekali gus mampu menyebabkan pencabulan maruah dan gangguan terhadap kehidupan peribadi seseorang itu.

Kamera tertutup yang direka khusus untuk tujuan keselamatan seperti pemantauan anak-anak di rumah, penyeliaan kawasan kerja kini bertukar menjadi ancaman kepada kebebasan sivil masyarakat.

Kurang penguatkuasaan terhadap penggunaan kamera litar dikenal pasti sebagai punca penyalahgunaan alat tersebut untuk tujuan yang tidak bermoral, tambahan pula, kamera tersebut boleh didapati dengan mudah dan murah bergantung kepada keupayaannya.

Dalam pada itu, tiada undang-undang diperuntukkan bagi mewajibkan pembelian dan pemasangan produk kamera berkenaan perlu didaftarkan.

Malah di negara ini, kemunculan beberapa siri kes rakaman video kamera tertutup menjadi bukti bahawa penggunaannya telah disalahguna.

Sejajar dengan itu, Nada Sepakat Corporation (M) Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Sheildbug, alat pengesan kamera tertutup tanpa wayar.

Alat pengesan bersaiz kompak itu hanya memiliki berat 25 gram dan sangat efektif dalam mengesan kamera yang tersembunyi.

Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Al-Hardy Fakharudin, penggunaannya bertujuan untuk menghindari seseorang daripada menjadi mangsa intipan kamera tersembunyi terutama ketika berada di bilik persalinan pusat membeli-belah atau bagi pasangan suami isteri yang sedang bercuti di pusat-pusat peranginan.

“Shieldbug yang merupakan teknologi ciptaan Australia dan pembuatannya dihasilkan dari China telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat negara ini sejak ia mula diedarkan pada November tahun lalu,” katanya.

Produk ini mempunyai reka bentuk seperti kumbang dan didatangkan dengan empat warna menarik iaitu hijau, kuning, merah dan biru.

Dari sudut prestasi, ia berkemampuan untuk mengesan kamera tanpa wayar di dalam ruang yang berkala tujuh meter.

Penggunaannya sangat efektif kepada kawasan tertutup seperti bilik, bangunan, bilik mesyuarat, tandas, rumah rehat, hotel dan pelbagai tempat awam yang menjadi tumpuan pemasangan kamera pengintip.

Dalam pada itu, Shielbug mengesan kamera yang tersembunyi melalui gelombang frekuensi yang terhasil daripada kamera berkenaan.

Pada kebiasaannya, kamera tertutup tanpa wayar menggunakan gelombang antara 1.2 gigahertz (GHz) sehingga 2.4 GHz sejajar dengan pembuatan Shieldbug.

Khusus

Sementara itu, Shieldbug pula telah direka khusus untuk mengesan penghasilan gelombang frekuensi yang berkala sama dan tidak bertindak balas terhadap gelombang yang dihasilkan daripada telefon bimbit ataupun kemudahan Internet tanpa wayar.

Kelebihan ini membuatkan produk inovasi ini bertindak balas kepada gelombang frekuensi yang telah ditetapkan sahaja dan tidak akan menjejaskan isyarat gelombang yang lain.

Shieldbug bertindak mengeluarkan bunyi ‘beep’ sebaik sahaja mengesan gelombang frekuensi yang dihasilkan menerusi kamera pengintip tersembunyi.

Produk tersebut didatangkan dengan dua mentol led yang berupa seperti sepasang mata serta berfungsi sebagai kesediaan Shieldbug untuk digunakan dan penunjuk jika terdapat sebarang isyarat frekuensi kamera.

Seterusnya, sebaik sahaja Shieldbug dihidupkan mentol LED yang terletak pada sebelah kanan akan mengeluarkan cahaya hijau dan sekiranya kehadiran kamera dikesan bunyi beep akan terhasil.

Pada masa yang sama, mentol LED yang terletak pada sebelah kiri akan mengeluarkan cahaya hijau dan bertukar menjadi merah sekiranya jarak kamera yang dikesan dekat dengan Sheildbug.

Lebih menarik, produk ini didatangkan dengan jaminan selama enam bulan dan boleh didapati dengan harga RM277 bagi setiap pembelian.

Sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut mengenai Shielbug boleh diajukan dengan menghantarkan e-mel ke info@nasdasg.


0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin