Hari terbaikku (versi Ramadhan)

Setiap hari kita melalui rutin. Ada orang rutinnya padat dan sibuk. Yang lain rutinnya ringkas dan tak bermakna. Untuk dirinya dan diri orang lain.

Saya berpendapat semua orang perlu ada rutin yang hebat, barulah dia berjaya menggunakan segala potensi diri yang dia ada.

Salah satu cara untuk melatih diri dengan rutin yang baru adalah dengan membayangkan gambaran perjalanan seharian dengan jelas sebelum tidur. Kesannya, perjalanan untuk esok hari akan lebih terancang dan tidak lagi dalam keadaan malas-malas.

Di sini saya kongsikan apa yang saya namakan sebagai 'Hari terbaikku' versi Ramadhan.



Sebelum Subuh

Bangun pagi, kemudian siapkan makanan untuk bersahur. Masak. Kejutkan kawan-kawan untuk bersahur bersama-sama, kemudian sempurnakan solat sunat yang diakhiri dengan witir.

Subuh

Bersiap-siap untuk ke masjid. Solat sunat. Kemudian solat Subuh berjemaah. Selesai solat i'tikaf di sana sehingga matahari terbit. Isi waktu i'tikaf dengan bacaan Mathurat, tilawah Al-Quran dan baca buku.

Pulang ke rumah, solat sunat Dhuha dan tidur. Bangun dua jam sebelum Zohor. Buat kerja yang perlu hingga masuk waktu Zohor.

Zohor

Bersiap-siap ke masjid. Solat sunat. Kemudian solat Zohor berjemaah. I'tikaf di sana sejam. Isi waktu i'tikaf dengan solat sunat, tilawah Al-Quran dan baca buku.

Pulang ke rumah dan buat kerja yang perlu hingga masuk waktu Asar.

Asar

Bersiap-siap ke masjid. Solat sunat. Kemudian solat Asar berjemaah. Selesai solat ziarah rumah kawan-kawan dan beli barang dapur untuk berbuka. Masak. Bergerak ke masjid setengah jam sebelum waktu Maghrib untuk i'tikaf. Isi waktu i'tikaf dengan bacaan Mathurat dan tilawah Al-Quran.

Maghrib

Berbuka seadanya di masjid dan solat Maghrib berjemaah. Pulang ke rumah untuk makan makanan berat. Bersiap-siap untuk ke masjid.

Isya'

Solat sunat. Kemudian solat Isya' berjemaah. Isi senggang waktu dengan tilawah Al-Quran. Solat sunat terawih secara berjemaah.

Beli barang dapur untuk sahur. Pulang dan buat kerja yang perlu sebelum tidur.

Saranan

Kita tak mampu untuk melaksanakan arahan yang tidak jelas. Sebagai contoh, jika kita disuruh dengan arahan, "Jadilah pandai!" Otak tak mampu untuk melaksanakannya kerana arahan tidak jelas.

Tapi sekiranya kita disuruh dengan arahan yang jelas seperti, "Bacalah buku ini selama setengah jam!", dengan muda otak memahami kehendak yang memberi arahan dan boleh terus melaksanakannya tanpa ragu.

Pada pandangan anda, adakah cara ini cara yang betul dan berkesan? Atau di sana ada cara lain yang lebih baik berbanding cara ini? Bagaimana pula cara anda untuk mewujudkan rutin yang hebat dan bermanfaat?


0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin