Sekali lagi, emel yang mengatakan kisah Marikh akan menjadi SEBESAR BULAN pada 27 Ogos ini mula tersebar. Sepertimana yang saya jangkakan, tahun ini, seperti mana tahun-tahun terdahulu, menjelang bulan Ogos, ramai di antara kita mula menerima emel yang di-forwardkan oleh rakan-rakan menyatakan tentang 'kejadian' yang amat hebat ini. Yang lebih menarik perhatian ialah ayat "NO ONE ALIVE TODAY WILL EVER SEE THIS AGAIN". Suka saya maklumkan bahawa kesemuanya itu adalah TIDAK BENAR sama sekali. Ini adalah fakta yang sebenarnya.
Jika dikira melalui kiraan falak, pada tarikh 27 Ogos 2010 ini, Marikh berada pada jarak 318 km JUTA kilometer daripada Bumi!! Marikh sekarang sedang berada di sebelah 'sana' atau hampir di belakang matahari ketika itu.
Malah, jika anda hendak mencari Marikh sekarang dan lihat keadaannya pun boleh. Cuba, tinjau-tinjau arah Barat selepas Maghrib (dah terlewat kerana sekarang dah melewati waktu maghrib). Akan kelihatan sebuah 'bintang' yang bersinat amat cerah pada arah baraat. Itu ialah planet Zuhrah.
Di manakah Marikh sebenarnya?
Marikh berada di sebelah KANAN dari Zuhrah, lebih kurang 2 darjah ke kanan, atau lebih senang nak faham, jarak 2 jari ke kanan dari Zuhrah. Dan kecerahannya amat malap dan bersinar seperti sebuah bintang biasa sahaja! Saya boleh katakan, jika saya tidak beritahu lokasi Marikh tersebut, anda pasti tidak akan perasan bahawa titik halus itu ialah Marikh!
Persoalan: Adakah ia akan menjadi sebesar bulan pada tarikh tersebut?
Sudah pasti tidak, kerana ia berada amat jauh. Malah jika dilihat menerusi teleskop pun ia kelihatan seperti sebutir bintang yang halus. Cuba bandingkan dengan bulan yang sedang mengambang penuh di arah timur pada tarikh yang sama.
Sejarahnya, kisah ini bermula pada tahun 2003. Pada ketika itu, memang Marikh berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi, iaitu pada jarak 56 JUTA kilometer! JUTA. Kombinasi orbit Bumi dan Marikh pada ketika itu menyebabkan, kedudukan jarak itu merupakan yang paling hampir sejak 60,000 tahun. Pusingan orbit Bumi dan Marikh akan membawa kedua-dua planet ini berhampiran antara satu sama lain setiap 2 tahun 2 bulan. Dan setiap kali ia dekat, jaraknnya berbez-beza. Cuba lihat kiraan di bawah.
Jadual di bawah merupakan tarikh ketika Bumi dan Marikh berada hampir antara satu sama lain dari tahun 1999 hingga 2020.
24 Apr 1999 Jarak 87 juta km
13 Jun 2001 Jarak 68 juta km
28 Ogo 2003 Jarak 56 juta km
7 Nov 2005 Jarak 70 juta km
24 Dis 2007 Jarak 89 juta km
29 Jan 2010 Jarak 99 juta km
3 Mac 2012 Jarak 101 juta km
8 Apr 2014 Jarak 93 juta km
22 Mei 2016 Jarak 76 juta km
27 Jul 2018 Jarak 58 juta km
13 Oct 2020 Jarak 63 juta km
Asal usul email
Pada tahun 2003 tersebut, Marikh memang bersinar amat terang, seperti sebuah lampu oren yang menyala. Tetapi ia tetap bukan sebesar bulan. Jika dibandingkan dengan bulan, Marikh "kelihatan" 75 kali lebih kecil daripada bulan. Kemudian, hasil daripada perbandingan tersebut, mulalah seseorang tu menyatakan, jika Marikh 75 kali lebih kecil dari bulan, maka jika kita besarkannya sebanyak 75 kali, mestilah nampak sebesar Bulan!"... maka dari situ mulalah muncul ayat yang mengatakan "Marikh akan kelihatan sebesar Bulan dengan mata kasar". Hasil daripada kehebatan teknologi internet, maka email tersebut mula tersebar ke seluruh dunia, dan berubah-ubah isi kandungannya. Sehinggalah ia diringkaskan menjadi "Marikh akan kelihatan sebesar Bulan dengan mata kasar", tanpa mencerita kisah pembesaran 75 kali tu...
Tahun-tahun berikutnya, tarikh kejadian asal 27 Ogos 2003 itu pun berubah sehingga menjadi "27 Ogos" sahaja. Malah, ada yang rajin, siap ditambah tahun kepada tahun yang terkini.
Maka, jelas sekali maklumat yang tersebar setiap tahun berkenaan Marikh sebesar Bulan pada 27 Ogos itu adalah tidak tepat langsung dan tidak benar.
Sumber : Falak Online
0 ulasan:
Post a Comment