Kisah Titanic


RMS Titanic (jugaSS Titanic) merupakan yang kedua dari tiga kapal penumpang yang bertujuan mengawal perniagaan perjalanan merentasi Lautan Atlantik. Dimiliki oleh White Star Line dan dibina di limbungan Harland and Wolff, Titanic merupakan kapal wap penumpang terbesar di dunia pada masa pelancarannya. Semasa pelayaran pertama Titanic, ia berlanggar dengan aisberg pada jam 11:40 PM (waktu kapal) pada pagi Ahad 4 April 1912, dan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua jam empat puluh minit kemudian iaitu pada jam 2:20 AM pagi Isnin.

Bencana tersebut mengakibatkan kematian lebih 1,500 orang, menjadikannya sebagai bencana laut terburuk semasa aman dalam sejarah dan paling termashyur sehingga kini. Titanic dilengkapi dengan teknologi paling maju pada masa itu dan orang awam percaya bahawa ia “tidak mungkin tenggelam”. Ia amat mengejutkan bagi orang ramai bahawa walaupun dengan teknologi moden dan anak kapal yang berpengalaman, Titanic masih tenggelam dengan jumlah kematian yang tinggi. Keghairahan media awam mengenai mangsa terkenal Titanic, legenda mengenai apa yang berlaku di atas kapal, mengakibatkan undang-undang laut ditukar, dan penemuan bangkai kapal pada 1985 oleh pasukan yang diketuai oleh Jean-Louis Michel dan Robert Ballard menjadikan Titanic kekal terkenal pada tahun-tahun berikutnya.


Pembinaan
Kapal Titanic merupakan kapal penumpang kepunyaan White Star Line, dibina di limbungan Harland and Wolff di Belfast, Ireland. Kapal ini direka untuk menyaingi kapal milik syarikat Cunard Line iaitu Lusitania dan Mauretania. Titanic, bersama kapal saudaranya kelas-Olympic, Olympic dan yang akan dibina Britannic, pada asalnya dinamakan Gigantic yang bertujuan untuk menjadi kapal paling mewah dan terbesar yang pernah dibina. Pembinaan RMS Titanic dibiayai oleh hartawan Amerika, J.P. Morgan dan syarikatnya International Mercantile Marine Co., bermula pada 31 Mac 1909. Badan kapal Titanic dilancarkan pada 31 Mei 1911, dan kelengkapan dalaman disiapkan pada 31 Mac tahun berikutnya. Titanic mempunyai ukukran sepanjang 269 meter (882 kaki 9 inci) dan 28 meter (92 kaki 6 inci) lebar, seberat 46,328 tan kasar, dan ketinggian dari paras air ke geladak setinggi 18 meter (60 kaki). Walaupun ia melitupi lebih banyak ruang dan dengan tan kasar yang lebih, badan kapal Titanic adalah sama panjang dengan kapal Olympic. Titanic dilengkapi dengan dua enjin bersetentangan empat silinder, tiga pembesaran, enjin wap terbalik dan satu turbin Parsons bertekanan rendah yang menggerakkan tiga kipas. Terdapat 29 dandang yang dipanaskan oleh 159 pendiang arang batu yang mampu menghasilkan kelajuan sehingga 23 knot (43 km/j). Hanya tiga daripada empat serombong kapal setinggi 19 meter (63 kaki) yang berfungsi; serombong keempat yang digunakan sebagai pengudaraan (sengaja ditambah bagi menampakkan kehebatan kapal itu). Kapal Titanic mampu membawa 3,547 penumpang dan anak kapal dan disebabkan ia membawa surat, namanya diberikan penambahan awalan Kapal Surat DiRaja (Royal Mail Ship) (RMS) atau (Royal Mail Steamer) dan juga sebagai kapal wap - SS (Steam Ship). Untuk masa itu, kemudahan dan kemewahannya tidak dapat ditandingi. Ia menawarkan kemudahan seperti kolam renang, gymnasium, mandian Turki, perpustakaan dan gelanggang squash. Bilik umum kelas pertama dihiasi indah dengan panel kayu yang meluas, perabot mahal dan hiasan indah yang lain. Kapal tersebut turut menawarkan tiga lif untuk kegunaan penumpang kelas pertama dan, satu inovasi pada masa itu, satu lif bagi penumpang kelas dua.

Titanic dianggap kemuncak senibina laut dan pencapaian teknologi. Ia dianggap oleh majalah Pembina Kapal Ship Builders sebagai "hampir tidak mungkin tenggelam." Titanic dibahagikan kepada 16 ruang kedap air dengan pintu yang dikawal oleh kunci magnetik dan akan diturunkan hanya dengan menekan satu suis dari dek anjung kapal; bagaimanapun, pembahagian (bulkhead) tidak merentangi keseluruhan ketinggian geladak (hanya sehingga Dek-E). Titanic mampu terapung dengan sebarang dua ruang tengah dipenuhi air atau empat bahagian pertama dipenuhi air; sekiranya lebih dari itu, ia akan tenggelam.



Pelayaran pertama


Kapal Titanic memulakan pelayaran pertamanya dari Southampton, England, untuk perjalanan ke Bandar New York, New York, pada Rabu, 10 April 1912, di bawah kendalian Kaptain Edward J. Smith. Ketika Titanic bergerak meninggalkan pelabuhan, kuasa sedutan yang dihasilkan oleh kapal tersebut menyebabkan kapal penumpang New York, yang berlabuh berhampiran, putus tambatan dan ditarik begitu hampir (sekitar 4 kaki) dengan Titanic sebelum kapal tunda menunda New York dapat mengelak. Kejadian tersebut melewatkan Titanic berlepas satu jam dari jadual sebenar. Selepas menyeberangi Selat Inggeris, Titanic berhenti di Cherbourg, France, untuk menurunkan dan mengambil penumpang tambahan dan berhenti sekali lagi di Queenstown (sekarang ini dikenali sebagai Cobh), Ireland, sebelum meneruskan pelayaran ke New York dengan 2,223 penumpang.

Titanic mempunyai tiga bahagian kelas penumpang yang diasingkan. Kelas ketiga yang juga dikenali sebagai steerage, terdiri daripada kabin kecil di dek bawah, diduduki kebanyakannya oleh pendatang yang mengharapkan kehidupan lebih baik di Amerika. Kabin dan bilik umum kelas kedua yang terletak di *****an kapal adalah sama dengan kemudahan kelas pertama di kapal-kapal yang lain. Kebanyakan penumpang kelas kedua pada asalnya menempah kelas pertama di kapal yang lain tetapi disebabkan mogok arang batu, mereka dipindahkan ke Titanic. Kelas pertama merupakan bahagian paling mewah di atas kapal.

Sebahagian daripada orang yang terkenal turut belayar sebagai penumpang kelas pertama. Ini termasuk jutawan John Jacob Astor dan isterinya Madeleine Force Astor; pemilik kilang Benjamin Guggenheim; pemilik Macy, Isador Straus dan isterinya Ida; jutawan Denver, Margaret "Molly" Brown; Sir Cosmo Duff-Gordon dan isterinya, pereka fesyen, Lady Lucille Duff-Gordon; George Elkins Widener dan isterinya, Eleanor; John Borland Thayer, isterinya Marian dan anak mereka yang berusia tujuh belas tahun, Jack; wartawan William Thomas Stead; Countess of Rothes; pembantu presiden U.S. Archibald Butt; pengarang dan sosialit, Helen Churchill Candee; pengarang Jacques Futrelle, dan isterinya May, dan rakan mereka, pengarah Broadway Henry dan Irene Harris; pelakon wanita filem bisu Dorothy Gibson; dan yang lain. Turut bersama di kelas pertama adalah pengarah urusan White Star Line J. Bruce Ismay yang mencadangkan Titanic dan pembina kapal Thomas Andrews, yang turut bersama bagi memantau sebarang masalah dan menilai prestasi keseluruhan kapal baru tersebut.


0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin