Air Tanah Hapus Kuman Babi

Soalan:

SAYA mempunyai ramai kawan rapat yang bukan Islam dan mereka tertarik dengan amalan dan larangan bagi orang Islam.

Salah satunya adalah mengenai najis berat iaitu babi dan anjing. Allah menggariskan sesuatu larangan atas sebab tertentu dan sesetengahnya sudah dijelaskan berdasarkan kajian dan penemuan sains.

Saya menjelaskan kepada mereka larangan makan dan sentuh anjing disebabkan kehadiran parasit dan kuman yang boleh memudaratkan.

Tetapi saya masih tidak dapat mencari tujuan penggunaan air tanah dalam amalan menyamak. Saya ingin memohon pertolongan Dr dalam hal ini kerana saya berharap ia serba sedikit dapat menarik minat mereka mendalami agama Islam.

MIMI,
Sarawak

Jawapan:

MENURUT mazhab Syafie, najis anjing dan babi termasuk dalam najis berat atau mughallazah. Cara menghilangkan atau menyucikannya ialah dengan membasuh sebanyak tujuh kali dengan satu air yang bercampur tanah.

Penggunaan air tanah amalan menyamak berdasarkan hadis nabi yang bermaksud: "Sucinya bejana kamu yang telah dijilat anjing ialah dengan membasuh sebanyak tujuh kali dengan air, salah satu yang utama dengan tanah." (Muslim).

Sekali pandang, penggunaan tanah boleh diganti dengan bahan pencuci lain seperti sabun, klorox dan sebagainya sekarang ini.

Bagaimanapun, penggunaan air bercampur tanah masih lagi relevan dan diiktiraf syariah. Ini kerana ia dikira suci lagi menyucikan dalam Islam.

Lagi pula, tanah adalah bahan yang senang didapati berbanding bahan lain dalam semua keadaan dan masa.

Selain itu, ada kajian menunjukkan kuman yang apa pada babi dan anjing dapat dihapuskan dengan tanah kerana adanya unsur kimia dalam tanah itu sendiri.

Seterusnya, tubuh manusia yang dikatakan berasal dari tanah juga tidak mudah diganggu oleh kuman walaupun alam ini penuh dengan kuman (Haji Mohamed bin Jusoh, 1990: 11).

Itulah kebesaran Tuhan dan hikmat kejadian manusia daripada tanah dan penggunaan tanah dalam menyucikan najis berat.


Sumber: Hmetro - Fikrah Dr Salam

0 ulasan:

Blog Widget by LinkWithin