Jumlah Pelawat

hit counter

SIAPA YANG DATANG ?


Jimatkan Minyak

Pengikut Mymilamin Blog

Showing posts with label Tragedi. Show all posts
Showing posts with label Tragedi. Show all posts

Botak Chin



oleh: Ziauddin Sharuddin
sumber - Berita Minggu, 26 Oktober 2003

NAMA Wong Swee Chin mungkin tidak memberi makna kepada masyarakat Malaysia walaupun itulah nama sebenar Botak Chin. Penjenayah ganas itu dilahirkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai 10 beradik di Kuala Lumpur pada 1951. Bapanya ialah pesara jabatan kereta api yang menghantarnya ke sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Sentul Pasar dan kemudian ke sekolah Inggeris.

Dia berhenti sekolah pada usia 15 tahun dan bekerja sebagai pembantu di pasar borong Jalan Tun Ismail selama setahun. Di sinilah, Botak Chin terpengaruh dengan kegiatan jenayah dan menyertai kongsi gelap (Geng 360) yang menguasai kawasan itu.

Selepas emaknya meninggal dunia, dia lebih suka tinggal di rumah kawan- kawannya dan terbabit dalam jenayah kecil-kecilan seperti mencuri. Kagum dengan kehebatan rakannya sebagai gangster, dia berpakat bersama tiga rakannya (dua daripada mereka memiliki pistol) melakukan rompakan pertama pada 19 April 1969.

Botak Chin kemudian memiliki senjata pertamanya .22 revolver lalu menubuhkan gengnya sendiri dan melakukan lapan rompakan pada September tahun itu. Kegiatan itu berjaya ditumpaskan. Botak Chin ditahan dan dihukum tujuh tahun penjara, tetapi dibebaskan pada November 1974.

Dia cuba menjadi seperti orang lain, tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya. April 1975, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang ianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Sebulan kemudian, Botak Chin pergi ke Thailand dan dengan bantuan rakannya, dia membeli senjata api. Senjata itu tiba ke tangannya seminggu kemudian. Botak Chin tidak menunggu lama dan pada 2 Jun, sebuah pusat perjudian haram di Sentul dirompak RM5,800. Dengan duit itu, dia pergi lagi ke Thailand membeli lapan senjata api, menjadikan kesemuanya sebanyak 11 serta 100 butir peluru.

Kawasan lombong tinggal di Kepong menjadi medan dia berlatih menembak dengan anjing liar sebagai antara sasaran tembakan. Botak Chin berasa cukup hebat dan secara terang-terangan mempamerkan senjata apinya di pasar Sentul. Orang yang melihat tidak berani berkata apa-apa kerana takut menjadi mangsa balas dendam.

Pada 20 Julai, sebuah bank di Jalan Imbi menjadi sasaran rompakan dan RM95,000 berjaya dilarikan. Dengan RM25,000 sebagai bahagiannya, Botak Chin membeli sebuah kereta Datsun dan melalui rakannya, dia membayar RM3,600 sebagai deposit. Tetapi tidak diketahui sama ada dia membayar ansuran bulanan selepas itu.

Sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer kemudian menjadi sasaran. Beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga lain.

Kemunculan semula Botak Chin dengan siri rompakannya mendapat perhatian polis dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Kulasingam ditugaskan memburunya hingga ke lubang cacing.

Kesukaran mendapatkan senjata api baru menyebabkan Botak Chin menjadikan anggota polis sebagai sasaran. Dia merampas tiga pistol milik tiga anggota polis dan ketika merompak sebuah bar di Sentul, merampas senjata api pengawal keselamatan. Ketika merompak Kelab Kereta Api Sentul selepas itu, dia mencabar sesiapa di situ untuk beradu kehandalan menembak ala koboi.


Pasukan polis terus memburunya dan pada September, polis mengesan kereta Alfa Romeo curi yang dinaiki Botak Chin dan anggotanya.

Di Segambut Dalam, selepas dikejar sejauh 3.2 kilometer dan dihujani tembakan polis, kereta itu berhenti dan Botak Chin segera menyelinap di kawasan setinggan di situ. Dalam keadaan kelam kabut, mereka tertinggal sepucuk .38 revolver.

Botak Chin bersama anggotanya, termasuk seorang yang cedera ditembak berjaya melepaskan diri dengan merampas sebuah kereta Volvo milik seorang pegawai bank.

Pada 25 September, orang kanannya, Chau Kuan (Ah Kuan) ditembak mati di sebuah kedai runcit di Jalan Kovil Hilir, tetapi ini tidak menghalang dia terus melakukan rompakan.

Rompakan terbesar ialah pada 26 Oktober 1975. Dia merampas RM218,000 selepas menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil agihan sebanyak RM40,000, Botak Chin pergi lagi ke Thailand membeli senjata api menjadikannya memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru.

Bagaimanapun, kedudukan Botak Chin sebagai ketua mula terancam apabila ada yang cuba mencabarnya. Dia bertindak cepat dan beberapa hari kemudian, Tua Pui Lek (ketua geng Lima Jari Gunung) dan anggota gengnya sendiri, Ah Wong, ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang.

Seorang lagi orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.

Awal tahun 1976, Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap.Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.

Botak Chin ibarat pelanduk yang lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah lupakannya. Selepas perancangan rapi polis, akhirnya pelanduk terjerat pada malam 16 Februari 1976.

Setahun selepas ditangkap, Botak Chin mencatat sejarah sebagai orang pertama mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membawa kepada hukuman mati mandatori.

Peguamnya, Jagjit Singh, membuat rayuan terhadap hukuman itu hingga peringkat Privy Council yang mengenepikan penghakiman dan hukuman mati itu serta mengarahkan perbicaraan semula.

Botak Chin dibicara semula pada 1 April 1980 dan ketika inilah dia mendakwa sebagai Robin Hood moden, merompak orang kaya untuk menolong orang miskin, tetapi sejarah membuktikan sebaliknya.

Dia akhirnya didapati bersalah pada 16 Mei 1980 dan rayuannya kepada Mahkamah Persekutuan ditolak pada 23 September. Rayuan kepada Lembaga Pengampunan juga ditolak. Ketika menunggu dihukum gantung, dua kali Botak Chin menyerang pegawai penjara.

Ketika berusia 28 tahun, riwayat Botak Chin sebagai penjenayah ganas dan kejam berakhir di tali gantung di Penjara Pudu pada 11 Jun 1981



10:00 AM | 0 ulasan | Read More

Tragedi Mercun Bright Sparklers, Sg Buluh (Mei 1991)

Kejadian Berdarah Yang Pernah Mengemparkan Negara Sekitar Mei 1991 Dahulu.


12:26 AM | 0 ulasan | Read More

Tragedi 4 Disember 1977 - Tanjung Kupang

Mengenang Tragedi Tanjung Kupang… Al-Fatihah


Walaupun peristiwa ini berlaku ketika aku masih belum lagi lahir ke dunia ini, namun aku dapat merasakan betapa sedihnya mereka yang telah kehilangan keluarga. Tragedi yang dimaksudkan adalah peristiwa terhempasnya pesawat Penerbangan Malaysia MH653 yang terhempas di Tanjung Kupang Johor pada tanggal 4 December 1977. Berdasarkan sumber rasmi, nahas tersebut berpunca akibat hijacked oleh pihak komunis. Namun menurut ayah aku pula, kejadian tersebut berpunca akibat daripada seorang menteri kabinet yang dalam keadaan mabuk telah melepaskan tembakan terhadap juruterbang. Namum berat hati aku mengatakan kejadian berpunca daripada rampasan oleh pihak komunis berdasarkan pita rakaman kota hitam.

Info Tragedi

* Pesawat: Penerbangan Malaysia MH 653
* Dari: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang
* Destinasi: Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
* Penumpang: 93 + (7krew)
* Kematian: 100 orang
* Jenis Pesawat: Boieng 737-2H6
* Tarikh: 4 December 1977



Gambar ini dirakam pada tahun 1976 iaitu setahun sebelum kejadian


Mari ikuti kisah ini.

JAM menunjukkan sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan.

Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor.


HUTAN bakau di Tanjung Kupang menjadi kawasan lapang selepas tragedi pesawat terhempas pada 4 Disember 1977.



Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam.

Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan - pesawat berkenaan dirampas pihak tertentu!

Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat.

Pesawat berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan.

Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang pesawat berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura.


Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit.

Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal.

Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri pesawat terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.

Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam.

Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.

Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu.

Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan - di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.

Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan.

Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.

Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh.

Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.

Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat.

Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu.

Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.

Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan.

Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.
6:47 PM | 0 ulasan | Read More

Al-Maunah Part 2

Serah diri

Kumpulan Al-Ma'unah kemudiannya menyerah diri, dan pemimpin yang dikatakan orang yang mendalangi percubaan untuk "melancarkan pemberontakan menggulingkan Raja". Kerajaan Malaysia bertindak memerangi ahli kumpulan Al-Ma'unah selepas memberi peluang untuk kumpulan tersebut menyerah diri dan menghentikan sebarang percubaan untuk mendapatkan sokongan awam kepada ahli kumpulan Al-Ma'unah dan menyatupadukan mereka kembali kepada masyarakat.

Mohamed Amin kemudiannya menyerah diri. Sebelum itu, beliau yang bersenjatakan raifal M16/M203 telah menarik kolar pakaian Leftenan Jeneral Zaini bin Mohamad Said, komander Tentera Darat Malaysia dan cuba untuk menembaknya dari jarak dekat. Tetapi Zaini bertindak menepis laras senjata Amin dan telah tertembak salah seorang anggota militan. Zaini kemudiannya dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) atas keberaniannya dan sumbangannya menamatkan keganasan tersebut tanpa mempedulikan nyawa beliau.

Sebenarnya, dua jam sebelum insiden tersebut, ASP Abd Razak bin Mohd Yusoff bergerak ke markas tersebut bersama dengan 20 orang anggota pasukan elitnya VAT 69/UTK PDRM menaiki bukit ke arah di Kumpulan Al-Ma'unah berkhemah. Setelah mendapat perlindungan yang sesuai untuk ahli kumpulannya, Abdul Razak bergerak bersendirian menyelinap masuk ke kubu. Dengan sikap berani dan tawakkal, beliau menemui sendiri Ketua Kumpulan Al-Ma'unah iaitu Amin. Maka, berlakulah perbincangan dan perdebatan secara 'ilmiah' antara Abdul Razak dan Amin (perdebatan ini telah dibukukan oleh Abdul Razak) yang mengambil masa selama 2 jam dan akhirnya, ketua kemupulan Al-Ma'unah tersebut bersetuju untuk menyerah diri. Maka, setelah Amin setuju untuk menyerah diri barulah ASP Abdul Razak memanggil Pasukan Leftenan Jeneral Zaini untuk proses perletakkan senjata. Di atas keberanian dan kebijaksanaan berbincang (excellent negotiation skill) Abdul Razak, beliau telah dianugerahi pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas jasanya. Pada masa itu, Abdul Razak adalah pegawai yang mengetuai pasukan payung terjun polis anti-pengganas Pasukan Gerakan Khas,VAT 69/UTK Polis Diraja Malaysia.

Kematian

Dianggarkan tiga orang telah terkorban sebelum kumpulan tersebut menyerah diri. Detektif Koperal R. Sanghadevan daripada Cawangan Khas PDRM dibunuh, sebahagiannya mendakwa beliau terbunuh, semasa pengepungan oleh 59 anggota polis dan tentera. Pengganas militan tersebut turut membunuh seorang anggota komando, Truper Mathew anak Medan dari Grup Gerak Khas ATM, yang mana beliau ditembak mati oleh Jemari Jusoh. Kesemuanya diseksa sebelum dibunuh. Orang ketiga yang terbunuh adalah seorang daripada ahli kumpulan tersebut dimana beliau ditembak mati apabila beliau enggan menyerah diri.

Serangan lain

Mohamed Amin turut menghantar rakannya untuk meletupkan kilang minuman keras Anchor dan Carlsberg di Petaling Jaya berhampiran Kuala Lumpur dan kuil Hindu di Batu Caves. Serangan itu menyebabkan hanya kerosakan kecil sahaja. Ahli kumpulan tersebut, Shahidi dan Khairul Anuar, kemudiannya diarahkan untuk meletupkan kilang Carlsberg di pinggir kota Kuala Lumpur dengan senjata pelancar bom tangan yang dirampas daripada kem tentera.


10:42 PM | 0 ulasan | Read More

Al-Ma'unah Part 1

Al-Ma'unah adalah sebuah organisasi (pengganas) militan di Malaysia yang terkenal dengan keberaniannya melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan. Kumpulan tersebut kemudiannya mendirikan pangkalan rahsianya di kawasan hutan berhampiran perkampungan di Sauk, Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Organisasi

Nama penuh organisasi tersebut dikenali sebagai Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah. Laman web organisasi tersebut dikenali sebagai Al-Ma’unah dalam singkatan, sebuah pertubuhan yang terlibat dalam ilmu persilatan yang turut menggunakan tenaga dalaman dan mempelajari ilmu perubatan tradisional Islam". Menurut jangkawaktu kononnya "Ma’unah" bermaksud sesuatu yang amat luarbiasa akan berlaku pada golongan sederhana orang Islam (paranormal). Pertubuhan ini dikatakan mempunyai keahlian seramai 1000 ikhwan yang berpusat di Malaysia, Brunei, Singapura, Mesir dan Arab Saudi.

Pengepungan tentera di Sauk.


Mohamed Amin bin Mohamed Razali yang merupakan pemimpin kepada 29 ahli kumpulan Al-Ma'unah mengetuai misinya untuk menggulingkan kerajaan Malaysia. Kumpulan ini, termasuk seorang Mejar daripada Tentera Darat Malaysia. Mereka berpakaian pegawai kanan tentera dan berlagak melakukan pemeriksaan mengejut ke atas Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah di Empangan Temenggor, Gerik, Perak. Mereka berjaya memperdayakan anggota tentera disitu dan melarikan senjata-senjata dikem tersebut [2]

Mereka sebelum ini memperolehi maklumat kelemahan sistem keselamatan kem tentera melalui pelbagai jalan keluar dan melindungi tiga unit kenderaan pacuan empat roda Pajero. Kenderaan Pajero yang dikatakan sama digunakan oleh tentera diwarnakan dengan warna hijau dan menggunakan nombor pendaftaran palsu disebuah garaj rumah di Kati, untuk digunakan khas sebagai kenderaan masuk kumpulan tersebut.

Pada 2 Julai 2000 awal pagi, 20 ahli kumpulan Al-Maunah menaiki tiga kenderaan Pajero dan bergerak ke Pos 2 Kem Kuala Rhui pada jam 2.50 pagi dan kemudian ke Kem Bn 304 Rejimen Askar Wataniah pada jam 4.15 pagi.

Mereka berkata kepada pegawai kem tersebut dengan alasan ingin mengadakan pemeriksaan mengejut, dengan memberitahu ingin membuat pemeriksaan kecemasan ke atas jumlah semua peluru yang disimpan di dalam kem tersebut. Atas pelbagai tekanan yang diberi oleh Amin dan orang-orangnya dan diyakinkan oleh kehadiran tiga kenderaan Pajero yang menggunakan nombor pendaftaran tentera yang bermula dengan huruf 'Z', anggota tentera di dua kem tersebut berjaya diperdyakan dengan membawa mereka masuk ke dalam kem tetapi salah satu daripada pelbagai jenis senjata, amunisi dan kelengkapan ketenteraan termasuk peralatan komunikasi dan lain-lain telah membantu kumpulan itu membawa senjata-senjata itu ke dalam tiga Pajero. Mereka berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dan imunisasi, iaitu 97 laras raifal M16, dua laras raifal Steyr AUG, empat senjata Mesingan Kegunaan Am (GPMG), enam laras mesingan ringan, lima pelancar bom tangan M203, 182 kelopak M16, lapan laras tambahan mesingan kegunaan am, tiga laras tambahan mesingan ringan, 26 bilah pisau benet, 9,095 butir peluru berkaliber 5.56mm dan 60 butir kartus peluru bom tangan berkaliber 40mm.

27 orang ahli tersebut kemudiannya menyembunyikan diri di dalam hutan Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Amin mengagih-agihkan semua senjata-senjata yang dilarikan tersebut kepada orang-orangnya untuk dilatih. Bunyi tembakan yang jarang di dengar oleh penduduk kampong hasil daripada tembakan senjataapi tersebut telah menarik perhatian polis. Kumpulan tersebut membuat persediaan untuk menjayakan rancangan mereka, termasuk mengumpul bekalan makanan dan membawanya ke dalam pengkalan mereka di Bukit Jenalik. Bekalan makanan yang diperolehi itu hanya cukup untuk tiga bulan sahaja. Mereka juga turut memperolehi senjata lain seperti parang dan senjata senapang panah untuk menjayakan misi mereka.

Sepasukan polis dihantar mengepung Bukit Jenalik untuk menyekat pergerakan mereka. Sejumlah anggota pasukan keselamatan dihantar untuk menyusup masuk ke dalam perkhemahan Al-Ma'unah. Walaubagaimanapun, dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah bin Ahmad dan Koperal Detektif Sanghadevan, serta penduduk kampung Jaafar bin Puteh dan seorang anggota komando ATM, Truper Matthews anak Medan, telah dijadikan tebusan oleh Al-Ma'unah. Dalam radio komunikasi yang digunakan oleh kumpulan itu, mereka memaklumkan bahawa mereka akan menyerang Kuala Lumpur sekiranya tuntutan ke atas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad untuk meletakkan jawatan dalam masa 24 jam tidak dipenuhi. Jaafar ditangkap ketika beliau sedang meneliti dusun duriannya.

Mohd Shah bin Ahmad menceritakan semasa percubaan selama lebih 4 hari, anggota pasukan keselamatan tersebut telah diseksa dan dianiaya. Mereka dipaksa menggali parit di kawasan Bukit Jenalik untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan sekiranya pangkalan mereka diserang. Pada sebelah malam, mereka telah diikat pada pohon durian. Pada masa itu, Mohd Shah dan Sanghadevan mengkebumikan Truper Matthews didalam salah satu parit kubu tersebut. Truper Matthews ditangkap oleh Jemari bin Jusoh dan apabila Amin mengetahui identiti Truper Matthews, Amin menyeksa Matthews dengan menembak kakinya. Amin kemudiannya menyuruh Jemari menembak Truper Matthews.

Pada pagi 5 Julai 2000, seorang anggota Al Ma'unah, Abu Bakar bin Ismail telah ditembak oleh pasukan keselamatan. Sebagai tindak balas, Amin dan rakan-rakannya bertindak membalas tembakan. Semasa tembak-menembak tersebut, Sanghadevan telah ditembak mati. Mayat Sanghadevan kemudiannya dikebumikan bersebelahan Truper Matthews oleh Mohd Shah dan Jaafar
10:41 PM | 0 ulasan | Read More
Blog Widget by LinkWithin